Seorang lelaki bujang terpaksa berputih mata menanggung kerugian sebanyak RM30,000 selepas diperdaya teman wanitanya sendiri.Mangsa, Muzaffar, 32, berkata, dia mengenali teman wanitanya itu dari
kenalannya sejak empat tahun yang lalu tidak menyangka gadis yang
mempunyai sifat yang baik, lemah lembut serta sering berhubung dengannya
melalui telefon bimbit dan WhatsApp itu tergamak menipunya.
"Permulaan perkenalan kami pada tahun 2014. Dia tidak bekerja dan hanya duduk di rumahnya di Kampung Demit, Kubang Kerian.Sifatnya yang alim dan sering memberi peringatan mengenai solat, manja
dan lemah lembut membuatkan saya terjatuh hati kepadanya," katanya.
Muzaffar berkata, gadis itu pernah meminta tolong memasukkan duit ke
dalam akaun bank kerana dia memerlukan wang belanja. Oleh kerana sayang
dan percaya, Muzaffar menurut saja kehendak gadis itu."Saya masukkan duit dalam akaun milik rakannya secara berperingkat sehingga jumlahnya mencecah RM30,000.
"Saya tidak pernah sangsi mahupun ragu yang dia akan menipu dan mempermainkan perasaan saya.
"Sehinggalah pada tahun 2016, dia akhirnya mendapat kerja sebagai
pembantu taska di Bangi dan saya ada bertemu dengannya sekali di tempat
kerjanya."Kemudian kami bersetuju mengikat tali pertunangan dan saya menghantar
rombongan meminangnya pada 2 Januari di rumah keluarganya.
"Sehinggalah sebelum tarikh merisik dan meminang, saya ada masukkan
RM3,000 secara berperingkat dalam akaunnya atas alasan kononnya dia mahu
menempah dua bentuk cincin termasuk cincin merisik dan bertunang serta
menempah sebiji kek untuk majlis merisik dan bertunang itu.
"Dia juga berjanji akan menempah rumah tumpangan untuk saya dan keluarga menginap.
"Sehari sebelum menghantar rombongan meminang, saya menghubunginya dan
berjanji akan bertemu dengannya di depan Hospital Universiti Sains
Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sebelum dia membawa rombongan kami ke
rumahnya," katanya.Malangnya bila tiba pada hari yang ditunggu-tunggu itu, Muzaffar dan
keluarganya yang baru sampai di kawasan rehat Gua Musang tidak dapat
menghubungi teman wanitanya itu. Malah telefon bimbitnya juga telah
dimatikan.
"Saya cuba menghubungi kedua-dua nombor telefon miliknya. Namun mesej WhatsApp saya telah disekat. Malah dia gagal dihubungi."Memang pada mulanya saya berasa tidak sedap hati tetapi nekad
meneruskan perjalanan sehinggalah sampai ke Kota Bharu dan sekali lagi
cuba menghubunginya, namun masih gagal," katanya.
Sehubungan itu, Muzaffar nekad pergi ke sebuah pasar raya berhampiran
dan bertanyakan sama ada mereka pernah terserempak atau mengenali bakal
isterinya itu. Tetapi jawapan yang diterima menghampakan."Akhirnya pekerja kedai itu membawa saya dan rombongan ke masjid mukim
Demit untuk bertemu dengan penghulu dan imam di masjid itu.
"Selepas diselidik mengenai teman wanita saya itu, penduduk, imam dan
ketua kampung akui tidak pernah mengenalinya malah keluarganya juga."Puas saya bersuaha sehinggalah hari semakin gelap dan melihat saya
dalam keadaan buntu, penghulu di kawasan itu menawarkan kami tinggal di
rumah tumpangan berdekatan," katanya.
Muzaffar mengakui dia terkilan dengan tindakan teman wanitanya itu yang mengkhianati hubungan mereka.
Susulan kejadian itu, Muzaffar membuat laporan polis di Ibu Pejabat
Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa pada 3 Januari lalu."Kejadian ini benar-benar menjadi pengajaran kepada saya. Walaupun masih
terkilan dengan tindakannya itu, namun saya masih bersifat positif
dengan menganggap kejadian ini sebagai ujian dan selepas ini saya akan
lebih berhati-hati.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan
Ibrahim Sharif mengesahkan menerima laporan dari mangsa dan kes disiasat
untuk tindakan lanjut.
Sumber: Sinar Harian
